Wanita, budak sasaran penjenayah ’sakit jiwa’

Oleh Jeswan Kaur

Personaliti pelaku jenayah kejam, seks sukar ditentukan menerusi air muka tetapi pemalu, bencikan wanita

ADAKAH mereka yang melakukan jenayah kejam terhadap kanak-kanak mempunyai personaliti tertentu? Mungkin inilah apa yang ingin diketahui oleh orang ramai selepas mayat Nurin Jazlin Jazimin ditemui dalam beg sukan pada 17 September lalu.

Kematian Nurin Jazlin bukan kes pertama perlakuan kejam terhadap kanak-kanak dilaporkan di negara ini. Bagaimanapun, diharapkan perbuatan kejam seperti itu adalah yang terakhir.
Kira-kira 20 tahun lalu, Ang May Hong dirogol dan dibunuh di lokasi tidak sampai 70 meter dari rumahnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Kemudian pelajar sekolah Audrey Melissa Batinathan dirogol dan dibunuh ketika berjalan ke sekolahnya di ibu negara. Tidak lama kemudian, negara digemparkan dengan insiden rogol dan bunuh Nurul Huda Gani, 10, pada 2004.

Malangnya, seperti kes Nurin Jazlin, pembunuh Ang dan Audrey masih bebas dan terlepas daripada hukuman.

Bagi pakar psikiatri, perbuatan kejam seperti ini membayangkan perbuatan mereka yang sakit jiwa ataupun yang mengalami gangguan seksual. Apa yang menyukarkan usaha menangkap mereka ini ialah ketiadaan profil terperinci yang menggambarkan `personaliti’ penjenayah terbabit.

Pakar psikologi berkanun, Prof Dr Low Wah Yun dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya memberitahu Bernama, mereka yang terbabit dalam kes jenayah kejam dan seks lazimnya menghadapi masalah psikologi, khasnya gangguan personaliti.

“Adalah tidak benar yang mereka ini melakukan jenayah itu untuk memuaskan nafsu seks mereka semata-mata. Apa yang mendorong mereka bukan seks, tetapi kemarahan keterlaluan yang terpendam dan apa yang terbuku dalam hati dilepaskan melalui perlakuan seks.

“Ia satu perlakuan yang berpunca kerana rasa marah dan untuk menunjukkan kekuatan selain perilaku antisosial yang turut mendorong untuk melakukan jenayah sungguh kejam seperti itu. Mereka mendapat kepuasan seksual daripada perbuatan seperti itu,” katanya.

Prof Low berkata, lelaki agresif seperti ini mungkin menghadapi masalah dalam mengawal emosi dan perasaan mereka dan mudah tunduk kepada tekanan.

“Mereka tidak kisah dengan akibat daripada tindakan mereka. Bagaimanapun, tidak kira apa masalah mereka, itu bukan alasan untuk melakukan jenayah. Ia tetap perbuatan jenayah dan mereka yang melakukannya mesti dikenakan tindakan,” katanya.

Prof Low berkata, adalah mustahil untuk menentukan mereka yang melakukan kesalahan seperti ini berdasarkan air muka mereka.

“Ia boleh jadi sesiapa saja, tidak kira status sosial, agama, kaum, usia dan masyarakat. Kanak-kanak dan wanita menjadi sasaran mereka kerana mereka mudah dikuasai dan dijadikan mangsa.

“Lelaki sadis ini mungkin mempunyai tanggapan berbeza terhadap konsep kelelakian atau apa rasanya untuk menjadi lelaki, secara asasnya siapa yang lebih berkuasa. Lebih penting bagi mereka ialah mencari mangsa, tidak kira mereka kanak-kanak atau dewasa,” tkatanya.

Pengarah dan perunding kanan psikiatri (forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Datuk Dr Suarn Singh, berkata sukar untuk membuat spekulasi akan apa yang mendorong seseorang untuk bertindak begitu kejam dan untuk memprofil mereka.

“Dalam membuat profil, metodologi adalah penting. Wikipedia mentakrif langkah memprofil pesalah sebagai satu kaedah mengenalpasti mereka yang melakukan sesuatu jenayah dengan analisis sifat kesalahan dan cara ia dilakukan.

“Pelbagai aspek membentuk personaliti penjenayah yang ditentukan melalui perbuatan penjenayah sebelum, semasa dan selepas jenayah itu. Maklumat ini apabila disatukan dengan butir relevan yang lain serta bukti fizikal dan kemudian dibandingkan dengan ciri personaliti yang diketahui bagi jenayah seperti itu,” katanya.

Dr Suarn berkata pembunuhan seksual adalah berlainan daripada homisid lain. Ada beberapa daripada jenis personaliti yang muncul dalam kajian yang mencirikan `pembunuh seksual’ khasnya membabitkan kanak-kanak. Individu itu adalah pemalu yang pasif dengan rasa benci terhadap kaum hawa dan asyik dengan khayalan sadis yang melampau.

“Latar belakang keluarga individu ini lazimnya menunjukkan penyalahgunaan dadah atau alkohol, keluarga yang tidak stabil dan dipinggirkan, disiplin yang tidak konsisten dan ada kalanya mereka sendiri menjadi mangsa penderaan seksual. Pembunuh seksual lazimnya suka menyendiri dan menunjukkan pencapaian rendah daripada segi akademik dan pekerjaan.

“Bagaimanapun, ada ramai yang boleh didiagnosis sebagai pembunuh seksual, tetapi tidak mencederakan sesiapa daripada segi fizikal. Tiada bukti dalam kajian ataupun dalam pengalaman saya yang menunjukkan yang mereka yang bersalah ini `suka’ dengan kanak-kanak kerana mudah diambil kesempatan,” katanya.

Sebelum kes Nurin Jazlin, dua kanak-kanak perempuan diculik dan dianiaya secara seksual oleh ‘lelaki kucing’ yang sehingga hari ini masih bebas..

Jenayah terhadap kanak-kanak menghampakan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau berikrar untuk memastikan tragedi seperti itu tidak akan berulang terhadap kanak-kanak lain dan menggariskan beberapa langkah untuk memastikan negara ini selamat bagi kanak-kanak.

Antara lain orang ramai boleh memanggil talian kecemasan 999 untuk melaporkan kes penderaan seksual. Sistem gelang rantai akan dilaksanakan bagi memantau aktiviti penjenayah seks selepas keluar daripada penjara. Talian Teledera juga akan dinaik taraf. — Bernama

2 Respons bagi “Wanita, budak sasaran penjenayah ’sakit jiwa’”

  1. abdullah Berkata:

    Assalamualaikum,

    Saya telah meletakkan pautan keblog anda di blog saya.Saya harap sudilah anda meletakkan pautan ke blog saya di blog anda pula.Kesudian anda saya ucapkan terima kasih.

    Wassalam.

  2. alesana Berkata:

    butuhh

Tinggalkan jawapan